The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS19 | Melaka FC 0-0 Selangor FC | Liga Super 2025-26 | Kecewa Namun Terus Pandang Ke Hadapan

Mar 01, 2026 - FAS

Selangor FC membawa pulang satu mata daripada Stadium Hang Jebat selepas terikat 0-0 menentang Melaka FC dalam perlawanan ke-19 saingan Liga Super 2025/26, semalam.

Pasukan berjaya mendominasi perlawanan dengan 69% penguasaan bola dan serta menggandakan jumlah percubaan berbanding pasukan lawan. Selain itu, skuad Merah Kuning berjaya meraih 11 sepakan penjuru, namun keputusan kekal terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, tidak menyalahkan mana-mana pihak dan mahu pemain terus pandang ke hadapan.

“Ini merupakan perlawanan yang sukar dan kami amat kecewa tidak dapatkan keputusan yang sepatutnya. Kita mencipta banyak peluang tetapi penyudah kurang menjadi, dan apabila berdepan pasukan yang bertahan dalam kotak penalti, sikit sebanyak menjadi sangat mencabar. Namun, inilah perkara yang perlu kita atasi jika mahu terus berada di kedudukan yang lebih kukuh,” kata Kim Pan-gon

“Para pemain semestinya kecewa tetapi mereka perlu terus pandang ke hadapan. Saya tidak boleh menyalahkan siapa-siapa kerana mereka telah melakukan tugas yang sangat baik dalam sepuluh perlawanan sebelum ini. Apa yang penting sekarang adalah belajar daripada situasi ini dan terus berjuang,” tambahnya lagi

Minggu hadapan, Selangor FC akan menerima kunjungan Imigresen FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 8 Mac (Ahad) bagi perlawanan Liga Super 2025/26 seterusnya, jam 10 malam. Ayuh, ramai-ramai penuhkan stadium bagi perlawanan terakhir di laman sendiri dalam bulan Ramadan, dapatkan tiket di sini.

Pihak Pengurusan Selangor FC juga berterima kasih kepada para penyokong yang telah bersama pasukan semalam. Jumpa anda minggu hadapan di Stadium MBPJ.

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Richmond Ankrah, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Mukhairi Ajmal, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Mamadou Diarra & Chrigor Moraes.

Pertukaran: 46’ Hugo Boumous > Mukhairi Ajmal, 46’ Safuwan Baharudin > Mamadou Diarra, 56’ Vitor Pernambuco > Alvin Fortes, 71’ Syahir Bashah > Noor Al Rawabdeh, 87’ Izwan Yuslan > Zikri Khalili.